Sejarah perkembangan akhbar di Sabah

Sejarah perkembangan surat khabar di Sabah

PENDAHULUAN

Sejarah Perkembangan Akhbar SabahPentingnya peranan akhbar di dalam sesebuah negara tidak dapat dinafikan kerana ia merupakan medium penyampaian maklumat kepada masyarakat. Pengaruh akhbar sangat besar dan boleh mempengaruhi pemikiran masyarakat. Oleh sebab itu, maka lahirlah satu pepatah iaitu sebatang pena itu adalah lebih tajam daripada mata pedang. Namun, peranan akhbar bukan sahaja dapat dilihat sebagai medium penyampai maklumat tetapi jika direkodkan dengan baik, akhbar-akhbar boleh menjadi sumber rujukan sejarah pada masa akan datang.

Sabah (dahulu dikenali sebagai North Borneo),bermula sejak di bawah pemerintahan Syarikat Berpiagam Borneo Utara sehingga sekarang sekurang-kurangnya mempunyai 30 buah akhbar. Akhbar-akhbar ini diterbitkan di dalam tiga bahasa utama iaitu Bahasa Melayu,Bahasa Inggeris dan Bahasa Cina. Namun di antara akhbar-akhbar tersebut terdapat akhbar yang menerbitkan akhbar dalam pelbagai bahasa iaitu Inggeris, Melayu dan Kadazan. Setiap akhbar-akhbar ini mempunyai fokus, peranan,tanggungjawab dan sumbangan mereka sendiri kepada rakyat Sabah.

Kajian sejarah mengenai perkembangan akhbar di Sabah serta sejauh mana akhbar pelbagai bahasa menjadi pilihan rakyat Sabah ini akan dibahagikan kepada tiga bahagian. Bahagian pertama ialah akhbar di Sabah sebelum perang dunia kedua. Bahagian ini akan  mengupas sedikit latar belakang akhbar terawal di Sabah iaitu The Herald dan 2 akhbar Cina yang pertama. Bahagian kedua ialah mengenai akhbar-akhbar di Sabah selepas perang dan bahagian akhir ialah sejauh mana akhbar pelbagai bahasa menjadi pilihan rakyat Sabah.

AKHBAR DI SABAH SEBELUM PERANG

Perkembangan akhbar di Sabah bermula agak lewat berbanding dengan koloni-koloni British yang lain. Ini kerana akhbar di Sabah hanya wujud apabila Syarikat Berpiagam Borneo Utara menubuhkan Jabatan Cetak di Kudat pada tahun 1881. Jabatan cetak tersebut telah dipertanggungjawabkan untuk mencetak dan menyebar maklumat. Di bawah pemerintahan Syarikat tersebut Jabatan Cetak diketuai oleh seorang Penguasa (superintendent) yang juga bertugas sebagai Editor, The Herald (1883-1941).Dari Kudat, Jabatan Cetak Kerajaan dipindah ke Sandakan pada awal tahun 1885 dan kemudian dipindah semula ke Jesselton atau Api-Api, bangunannya pada masa itu terletak di 51 Gaya Street. Pada tahun 1935 Jabatan Cetak sekali lagi berpindah ke Sandakan sehingga meletusnya perang dunia kedua. [1]

Jabatan Cetak Syarikat Berpiagam Borneo Utara ini menerbitkan The Herald bermula daripada Mac 1881 sehinggalah Julai 1941. The Herald diterbitkan sebulan sekali dari tahun 1881 – 1895 dan bermula tahun 1896 The Herald diterbitkan dua minggu sekali[2]. Di awal penerbitannya, The Herald banyak memuatkan berita –berita luar. Selepas itu ia mula memuatkan lebih banyak berita-berita tempatan. Sumber berita The Herald pada ketika itu ialah pegawai kerajaan yang ditempatkan di sesuatu daerah.  Sepanjang tempoh penerbitan akhbar tersebut pernah memuatkan kandungan berita seperti sukan, artikel perang, surat pembaca, berita tempatan dari daerah lain dan makluman mengenai kematian. Bahkan, akhbar tersebut juga turut memuatkan iklan.

Pada Mac 1936, akhbar pertama yang berbahasa Cina telah dicetak dan diterbitkan di Jesselton oleh Lee Nyuk Lin seorang peniaga. Ini merupakan kesan daripada sentimen anti-Jepun di kalangan masyarakat Cina yang semakin kuat pada ketika itu akibat perang di antara Jepun dan China. Akhbar tersebut iaitu Hua Chiao Jit Poh [Jesselton Overseas Chinese Daily] mempunyai satu muka surat untuk setiap keluaran dan dicetak menggunakan teknik cetakan stensil. Ia dijual pada harga 2 sen senaskah. Pada ketika itu, Lee menjalankan perniagaan akhbar tersebut seorang diri kerana dia melakukan semua kerja-kerja wartawan, editor dan penerbit.[3]

Akhbar tersebut amat kurang melaporkan berita-berita setempat dan lebih banyak memuatkan  berita mengenai peperangan di China yang diperolehi melalui siaran radio Nanking, dan seterusnya Chungking. Aktiviti perniagaan Lee ini tidak dipantau sehinggalah pada Mei 1938 dia menerima amaran rasmi kerana penerbitan slogan dan kartun yang berunsurkan anti-Jepun.

Manakala di Sandakan, seorang guru bernama Chong Wai Cho , menerbitkan sebuah akhbar dan dinamakan Sandakan Overseas Chinese Daily. Akhbar tersebut lebih kurang sama dengan akhbar yang diterbitkan oleh Lee iaitu melaporkan mengenai peperangan yang berlaku di negara China. Sumber maklumat Chong adalah melalui siaran radio Chungking. Akhbar tersebut turut menyebarkan slogan dan kartun anti-Jepun.[4]

Kedua-dua akhbar ini merupakan surat khabar Cina yang terawal dan mendapat perakuan sah pada September 1941 selepas mematuhi Ordinan Percetakan yang telah diluluskan pada tahun 1939 yang mewajibkan penerbit menghantar kandungan berita akhbar kepada kerajaan untuk disunting dan dimasukkan bahan berita daripada Pejabat Informasi kerajaan. Selain itu, British juga meminta penerbit akhbar persendirian untuk meningkatkan kadar edaran akhbar sebanyak mungkin dan turut memberi tawaran perkhidmatan Pejabat Informasi untuk membantu pengedaran akhbar mereka. Dengan ini, British mengakui kepentingan kedua-dua akhbar tersebut dalam menyebarkan maklumat terutama sekali di dalam komuniti Cina. Pada masa yang sama British juga dapat mengawal kandungan berita akhbar tersebut.[5] Walaubagaimanapun, pada tahun 1941 – 1945, Sabah telah ditawan oleh tentera Jepun dan tiada sebarang rekod dapat memastikan jika terdapat wujudnya akhbar pada ketika itu.

AKHBAR DI SABAH SELEPAS PERANG

Mendiang Tan Sri Yeh Pao Tzu mengambil alih akhbar Jesselton Overseas Chinese Daily News  dan menjalankan peranan penerbit serta ketua editor pada tahun 1949. Akhbar tersebut seterusnya diterbitkan 6 hari seminggu. Beliau yang merupakan seorang graduan dalam bidang penulisan daripada Universiti Fu Tan, China telah melaksanakan beberapa perubahan iaitu antaranya penggunaan peralatan mesin pencetak yang lebih maju. Perubahan ini menyebabkan ia dapat mencetak 6 muka surat berbanding hanya satu sebelumnya. [6] Sehingga kini, Overseas Chinse Daily News merupakan akhbar berbahasa Cina dengan edaran paling banyak di Sabah.

Akhbar berbahasa Inggeris North Borneo News mula dicetak dan diterbitkan pada tahun 1949. Akhbar tersebut diterbitkan secara tidak berkala dan tetap kerana hanya satu keluaran pada Jun 1949 dan Oktober 1951. Rekod terbanyak ialah pada tahun 1952 di mana akhbar tersebut telah diterbitkan sebanyak 16 keluaran. Ia berada dalam pasaran sehingga tahun 1954 dan pada penghujung tahun itu ia bergabung dengan The Sabah Times.[7]

Dua tahun selepas North Borneo News diterbitkan, sebuah bulletin berita bahasa Inggeris bagi kesatuan Olahraga Amatur Borneo Utara yang dinamakan Kinabalu News Bulletin telah diterbitkan. [8]Tempoh penerbitan akhbar tersebut ialah dari tahun 1951 sehingga Januari 1954.

The Sabah Times pula mula dicetak dan diterbitkan pada Mac 1954. Seterusnya pada penghujung tahun 1954 ia bergabung dengan North Borneo News dan mula diterbitkan secara berkala dan tetap sehingga tahun 1964. Pada ketika itu, ia menggunakan nama North Borneo News dan Sabah Times. Pada penghujung tahun 1964, ia menggunakan nama The Sabah Times. Namanya ditukar kepada Kinabalu Sabah Times pada tahun 1969 dan sekali lagi sebagai The Sabah Times pada tahun 1980. Akhbar ini terus berada dalam pasaran sehinggalah terhenti pada tahun 1995. Ia kemudian berada di dalam pasaran semula pada tahun 1998 apabila Syarikat Inna Kinabalu mengambil alih dan dinamakan New Sabah Times. The Sabah Times pernah menerbitkan akhbar Sabah Times dalam bahasa Cina sebanyak dua kali iaitu dari tahun 1964 – 1966 dan semasa dinamakan Kinabalu Sabah Times dari tahun 1969 sehingga 1975.

Akhbar Anak Sabah mula diterbitkan pada Mei 1956. Ia merupakan akhbar untuk kanak-kanak dan diterbitkan sebulan sekali. Ia berhenti dipasarkan pada tahun 1966. Pada tahun1960-an, terdapat lebih daripada sepuluh akhbar wujud pada tempoh ini. Akhbar yang wujud dalam tempoh ini ialah Borneo Times(Cina) (1960-1972), Borneo Times(Inggeris) (1962-1964), Sandakan Jih Pao (1960), Sandakan Sunday News (1962), Kinabalu Observer {Evening Post}(1960-1961), Api Siang Pao (1960-1967), Tawau Jih Pao (1962-1967, 1969-1971), Daily Express(1963-2008),Kinabalu Sunday Times (1965-1967), Kinabalu Times (1966-1968), Eastern Malaysia Evening Post(1966) dan Merdeka Daily News(1969-2008)[9]

Akhbar Daily Express yang diasaskan mendiang Tan Sri Yeh Pao Tzu ini mula diterbitkan pada 1 Mac 1963 dalam tiga bahasa iaitu Bahasa Inggeris, Bahasa Malaysia dan Bahasa Kadazan. [10]Setakat ini, akhbar ini merekodkan penjualan akhbar harian paling luas di Sabah. Pada mulanya, akhbar ini hanya diterbitkan 6-hari seminggu dengan 16-muka surat tetapi pada pertengahan tahun 1980-an, akhbar ini mula diterbitkan 7-hari seminggu selain tambahan muka surat antara 28 hingga 32-halaman. Pada tahun 1992, ia memperkenalkan siri berwarna akhbarnya. Akhbar ini kekal popular sehingga kini di kalangan pembaca dan syarikat pengiklanan adalah kerana kualiti isi kandungan, yang merangkumi laporan mendalam, seimbang dan objektif, selain pendekatan tersendiri dalam liputan berita. Daily Express merangkumi topik yang meluas termasuk berita antarabangsa, nasional dan tempatan, seksyen kewangan dan perniagaan, sukan dalam siri berwarna, hiburan dan lain-lain.

Kinabalu Weekend diterbitkan pada tahun 1976 sehingga Mei 1981. Manakala Asia Times yang menggunakan medium bahasa Cina diterbitkan pada tahun 1978. Penerbitan akhbar ini terhenti sekali namun akhbar ini dapat bertahan sehingga kini. Pada tahun 1988, sebuah akhbar tabloid pertama di Sabah yang dinamakan Borneo Mail telah diterbitkan oleh Nountun Press Sendirian Berhad. Akhbar tabloid tersebut menggunakan 3 bahasa sebagai medium iaitu Inggeris, Melayu dan Kadazan. Akhbar kandungannya Today’s News turut diterbitkan tetapi penerbitannya dihentikan pada tahun 1990. Akhbar Borneo Mail terus berada di dalam pasaran sehinggalah tahun 2003 apabila penerbitannya digantung akibat perubahan.  [11]

Borneo Post telah dicetak dan diterbitkan pada tahun 1994 dan ia dibiayai oleh See Hua Sendirian Berhad. Ia merupakan akhbar berbahasa Inggeris. Surat khabar kandungannya See Hua Daily News dilancarkan pada tahun 1996. [12]Utusan Borneo iaitu sebuah akhbar tabloid telah diterbitkan sebagai tambahan kepada Borneo Post. Akhbar ini menggunakan medium bahasa kebangsaan dan kedua-duanya masih berada di pasaran sehingga kini.

Berita Sabah pula mula dicetak dan diterbitkan pada penghujung tahun 1996. Ia diterbitkan dua kali sebulan. [13]Akhbar ini merupakan akhbar yang pro-Parti Bersatu Sabah pada ketika itu. Ia berada dalam pasaran sehingga Disember 1997.           Akhbar Harian Mercu pula mula berada di dalam pasaran pada Oktober 1996 tetapi penerbitannya ditamatkan pada tahun 1998 Akhbar CBS Media berada dalam pasaran pada Disember 1996 dan terus berada dalam pasaran sehingga tahun 2000.

Perkembangan teknologi yang pesat serta permintaan yang semakin tinggi menyebabkan akhbar-akhbar di Sabah juga telah melaksanakan beberapa perubahan. Antaranya penggunaan mesin cetak yang lebih moden, dan melanggan berita daripada sumber lain bagi mendapatkan maklumat luar negeri seperti BERNAMA. Seiring dengan perkembangan zaman, beberapa akhbar di Sabah juga telah mewujudkan akhbar atas talian sebagai contoh Daily Express, New Sabah Times, Asia Times dan Merdeka Daily News. Jualan dan edaran akhbar di Sabah tetap meningkat walaupun ada di antara akhbar-akhbar ini mempunyai akhbar atas talian.  Kini, rakyat Sabah boleh mengetahui dan mengakses berita di Sabah walau di mana mereka berada melalui laman web.

SEJAUH MANA AKHBAR PELBAGAI BAHASA DIMINATI

Hasil daripada kaji selidik yang dilakukan, didapati majoriti daripada responden memilih untuk membaca akhbar pelbagai bahasa dan tidak bersetuju sekiranya akhbar pelbagai bahasa tersebut menggunakan satu bahasa sahaja sebagai medium penyaluran maklumat. Majoriti responden juga bersetuju akhbar pelbagai bahasa mempunyai peranan penting dalam meningkatkan toleransi antara kaum di Sabah. Selain itu, lebih tiga perempat daripada responden mengatakan bahawa mereka akan membaca Berita Harian sekiranya akhbar Berita Harian menyediakan berita dalam pelbagai bahasa. Walaubagaimanapun, empat perlima daripada responden juga mengatakan mereka akan membaca Berita Harian sekiranya akhbar tersebut memuatkan lebih banyak berita tempatan Sabah. Oleh itu kajian yang lebih lanjut dan mendalam perlu dilakukan pada masa akan datang bagi mengkaji sejauh mana faktor bahasa dan kandungan berita tempatan dapat mempengaruhi pembeli dan pembaca untuk memilih akhbar.

Secara keseluruhannya, melalui kaji selidik tersebut, didapati majoriti rakyat Sabah memilih akhbar pelbagai bahasa sebagai akhbar pilihan. Ini dikuatkan lagi dengan peningkatan edaran jualan akhbar pelbagai bahasa seperti Daily Express dan New Sabah Times yang begitu ketara dari Julai 2001 sehingga Disember 2006. (Lihat carta 1.)

Carta Edaran Akhbar di Sabah
Carta Edaran Akhbar di Sabah

KESIMPULAN

Perkembangan akhbar yang bermula dengan kewujudan akhbar “The Herald” yang diwujudkan oleh Syarikat Berpiagam Borneo Utara sejak tahun 1880-an telah banyak memberi sumbangan kepada golongan cendekiawan .Ini kerana “The Herald” banyak memberi maklumat kepada pengkaji mengenai sejarah negeri Sabah. Selain itu, ia juga merupakan titik tolak kepada perkembangan akhbar di Sabah. Fungsinya kini bukan sekadar menyebarkan maklumat tetapi telah menjadi sumber rujukan pada masa kini kerana banyak merekodkan maklumat-maklumat penting mengenai perihal kejadian yang berlaku di Sabah.

Walaubagaimanapun, akhbar-akhbar yang wujud selepas “The Herald” juga  mempunyai sumbangan terhadap perkembangan akhbar di Sabah walaupun setiap akhbar tersebut mempunyai fokus yang berbeza. Ada di antara akhbar-akhbar tersebut tidak lagi berada dalam pasaran dan yang masih tinggal pula telah mengadaptasi teknologi terkini untuk kekal kompetitif.

Peningkatan edaran akhbar pelbagai bahasa di Sabah menjadi bukti bahawa akhbar pelbagai bahasa menjadi pilihan rakyat Sabah. Selain itu, kaji selidik yang dilakukan mengukuhkan dan menyokong bahawa rakyat Sabah pada umumnya lebih menyukai akhbar pelbagai bahasa.

LAMPIRAN I                                  

Soalan Kaji Selidik Ya (%) Tidak (%)
Adakah anda bersetuju jika akhbar pelbagai bahasa seperti (Daily Express) hanya gunakan satu bahasa sebagai medium? 29.03 70.97
Setujukah anda bahawa akhbar pelbagai bahasa menjadi pilihan rakyat Sabah? 70.97 29.03
Sekiranya anda membaca/membeli akhbar trilingual (tiga bahasa) adakah anda membaca semua artikel atau sekurangya melihat artikel tersebut dalam ketiga-tiga bahasa tersebut? 54.84 45.16
Adakah anda akan membaca Berita Harian sekiranya Berita Harian lebih banyak memuatkan berita tempatan Sabah? 80.65 19.35
Adakah anda akan membaca Berita Harian sekiranya Berita Harian turut menyediakan berita dalam pelbagai bahasa di dalam akhbarnya? 77.42 22.58
Setujukah anda bahawa akhbar pelbagai bahasa mempunyai peranan penting dalam meningkatkan toleransi antara kaumdi Sabah. 87.10 12.9

Nota Kaki Sejarah Perkembangan Akhbar di Sabah

[1]  Dipetik dari http://www.sabah.gov.my/jck/sejarah00.html (dikemaskini pada  Mei 18, 2005, akses pada 5 Oktober, 2008).

[2] Panduan kepada Suratkhabar di Arkib Negeri Sabah, 1995.

[3]Danny Wong Tze-Ken,‘Japanese Economic Activities in North Borneo from 1890s until 1941’, Journal of Southeast Asian Studies, 32 (1), pp 93-106, February 2001.

[4] Ibid.

[5] Ibid.

[6]Dipetik dari http://www.infosabah.com.my/sph/OCDN.htm(Diakses pada 5 Oktober, 2008).

[7] Panduan kepada Suratkhabar di Arkib Negeri Sabah, 1995.

[8] Ibid.

[9] Panduan kepada Suratkhabar di Arkib Negeri Sabah, 1995.

[10]Dipetik dari http://www.dailyexpress.com.my/about.cfm (Diakses pada 5 Oktober, 2008).

[11]Dipetik dari http://www.dailyexpress.com.my/news.cfm?NewsID=19920cfm (Diakses pada 5 Oktober, 2008).

[12] Panduan kepada Suratkhabar di Arkib Negeri Sabah, 1995.

[13] (6) AE Arkib Ekonomi (Surat Khabar).

 

 P/s Ini adalah artikel akademik yang disediakan semasa penulis masih menuntut dalam jurusan Kejuruteraan Perisian.

3 Comments
  1. July 31, 2014
  2. December 10, 2015
    • December 14, 2015

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge