6 teknik jual tudung atas talian

6 teknik jual tudung secara atas talian (online)

Dari tahun 2014 lagi saya perasan tudung banyak dijual secara atas talian. Walaupun saingan punyalah banyak tapi semakin ramai peniaga atas talian yang menjual tudung. Mungkin kerana bisnes tudung lebih senang dilakukan dan pasarannya juga sangat luas. Lagipun  pelbagai kaedah dan teknik boleh digunakan untuk menjual tudung secara atas talian.

Kewujudan peniaga tudung yang semakin banyak membuktikan bahawa tudung merupakan satu peluang untuk menjana duit dari internet bahkan boleh menjadi jutawan.

Taraf  usahawan jutawan tudung tidak mustahil kerana jenama tudung seperti Radiusite yang sangat terkenal dan berjaya ini pada asalnya juga menjalankan perniagaan tudung secara atas talian . 

Radiusite  bermula dengan menjual  dan memasarkan tudung secara atas talian menggunakan teknik blogging.  Kini Radiusite melangkah jauh dan mengembangkan perniagaan mereka dan mempunyai beberapa kedai serta cawangan secara fizikal. 

Ya, Radiusite sebuah kedai atas talian yang sangat berjaya telah diasaskan oleh seorang blogger. Nak tahu cerita blogger tu tak?

Namun melalui pemerhatian saya bukan semua teknik, kaedah dan cara usahawan tudung gunakan dapat memberikan pulangan yang menguntungkan dalam masa yang singkat.

Dan ini menyebabkan ramai peniaga atau usahawan tudung yang baru menceburi dalam perniagaan tudung ini gagal untuk bersaing. Akhirnya peniaga tudung ini terpaksa menjual tudung mereka dengan harga yang rendah dan tidak menguntungkan bagi meminimumkan kerugian mereka. 

6 teknik jual tudung

Apa yang silap?

Hanya satu – kerana tak tahu teknik jual tudung atas talian. Malah, gagal untuk promosi produk dan perniagaan secara atas talian.

Tudung seharusnya merupakan satu perniagaan yang mudah dan menguntungkan.

Tudung boleh dipasarkan dan dilariskan dengan pelbagai teknik, kaedah dan cara.

Tudung boleh dijual secara pukal atau sikit.

Tudung adalah produk yang senang diuruskan sebagai contoh ringan, tidak memerlukan ruang yang besar untuk menyimpan dan sebagainya.

Tudung tidak memerlukan kos pengiriman yang mahal disebabkan perkara di atas.

Tudung mempunyai sasaran pasaran yang sangat luas iaitu wanita di Malaysia, Indonesia, Brunei, Filipina dan Thailand.

Wanita tidak kira darjat amat gemar tudung yang cantik dan menarik.

Malah ada wanita yang sanggup membeli tudung unik, ekslusif dan rekaan fesyen terkini dengan harga ratusan ringgit.

Mengapa Jual Tudung Atas Talian?

Sebab paling utama ialah sasaran pelanggan dan bakal pembeli lebih besar. Pengguna Facebook di Malaysia yang dianggarkan melebihi 11.8 juta orang setiap hari ini.

Andaikan jika separuh daripada jumlah tersebut adalah wanita bertudung.

Andaikan 10% daripada wanita bertudung itu mempunyai kuasa membeli dan sangat gemar membeli tudung secara atas talian. 

Cuba buat perbandingan dengan kedai fizikal. Berapakah potensi pelanggan yang ada. Adakah ia mencapai 10 ribu sebulan. Sekiranya lokasi kedai anda berada di lokasi premium mungkin ia tidak menjadi masalah. Namun lokasi premium bermaksud kos sewa kedai semakin tinggi.

Peniaga terpaksa mengorbankan sesuatu dalam mendapatkan salah satu perkara tersebut.  Jika dibandingkan, perniagaan atas talian lebih baik yang mana ia boleh mencapai pelanggan di seluruh Malaysia serta negara jiran seperti Indonesia, Brunei dan Thailand.  

Ini merupakan antara faktor yang patut difikirkan oleh seseorang peniaga sebelum memilih untuk berniaga dengan kedai fizikal atau berniaga atas talian. Namun sebagai peniaga tudung atas talian adalah penting untuk mengetahui teknik-teknik jualan tudung atas talian.

Oleh sebab itu dalam artikel saya ini, 6 teknik menjual tudung atas talian akan dikongsikan. Semoga perkongsian ini dapat memberikan satu pengetahuan baru kepada peniaga tudung atas talian agar peniaga menjual tudung  dapat mempelbagaikan medium pemasaran dan alat penjualan tudung.

Menjual Tudung Melalui Blog

Teknik ini boleh dikatakan teknik yang paling lama dalam pemasaran atas talian. Ia telah mula digunakan sejak wujudnya platform untuk ‘blogging’ seperti ‘blogspot’ , ‘wordpress’ , dan sebagainya pada awal abad ke 21.

Walaupun ia teknik yang agak lama, namun ia tetap teknik utama dalam mempromosikan sesuatu produk atau bisnes di  atas talian. Lagipun sekarang ini sesiapa sahaja boleh membina blog mereka sendiri secara percuma tanpa modal yang besar pun.

Malah ada rakan blogger yang mempunyai kemahiran rekabentuk laman web mampu membina laman web dengan imej professional yang kelihatan sama seperti laman web komersial sehingga tidak kelihatan seperti blog pun. Memang berbaloi-baloi.

Menjual Tudung di Facebook

Teknik jual di tudung di Facebook merupakan cara kebanyakan peniaga tudung sekarang.  Ini kerana ia platform yang percuma dan sasaran pasaran lebih besar berdasarkan pengguna Facebook di Malaysia yang  dianggarkan melebihi 11.8 juta.

Namun walaupun ia percuma, peniaga harus berpada-pada ketika membuat promosi dan iklan di status Facebook sendiri. Ini kerana tidak semua orang suka ‘newsfeed’ mereka dipenuhi dengan iklan-iklan tudung. Nanti tak pasal-pasal kena kutuk belakang atau di ‘unfriend’.

Oleh itu  sekiranya menggunakan medium jualan menggunakan Facebook sila kenalpasti dan atasi masalah yang mungkin wujud agar anda berjaya menjual tudung menerusi teknik jualan di Facebook. Sebenarnya banyak persediaan yang anda perlu lakukan jika hendak berjaya menghasilkan jualan tudung di Facebook.

 

Menjual Tudung di Instagram

Instagram kini telah menjadi salah satu medium menjual tudung yang terkini. Maka sebab itu  terdapat pelbagai produk dan rujukan yang dapat membantu usahawan ini melariskan jualan produk di Instagram.

Ini kerana Instagram telah melahirkan ramai usahawan yang berjaya dalam perniagaan atas talian. Instagram bukan setakat membantu usahawan ini melariskan produk dan pada masa yang sama ia meningkatkan jenama perniagaan.

Satu sahaja perkara yang perlu diingat oleh bakal usahawan tudung yang menjual tudung di Instagram. Sasaran pelanggan di Instagram merupakan peringkat umur belia. Kalau nak sasar pelanggan yang umur-umur Datin tu seeloknya gunakan medium jualan lain. Nanti tak pasal-pasal pula ada pula Datin yang nampak lebih muda dari belia. Nanti yang belia ni terasa terancam pula dengan kecantikan datin-datin ini.

Oleh itu setiap gambar yang ingin dikongsikan ke Instagram perlu mempunyai rekaan yang dapat menarik perhatian belia. Tuliskan butiran ringkas mengenai gambar tudung tersebut dan gunakan ‘hashtag’ iaitu #. Kalau nak lebih laris gunakan foto model atau artis yang menggayakan tudung tersebut.

Sekiranya kaedah dan teknik yang digunakan adalah betul ia pasti memberikan pulangan yang tidak dijangka. Kalau nak dapatkan teknik rahsia menjual di Instagram klik imej di bawah ini.

Teknik Rahsia menjual di Instagram 

 

Menjual Tudung melalui GROUP Aplikasi Telefon Pintar WhatsApp/Telegram/Line

Menjual tudung melalui aplikasi telefon pintar seperti Whatsapp, Telegram , Line  dan sebagainya merupakan teknik berniaga tudung yang lebih dekat dengan pelanggan kerana komunikasi adalah secara santai.

Teknik ini perlu digabungkan dengan teknik lain kerana teknik jual tudung di Group aplikasi telefon pintar memerlukan butiran pelanggan seperti nama dan nombor telefon pintar mereka bagi memudahkan anda memasukkan mereka ke dalam kumpulan Whatsapp, Telegram, Line  dan sebagainya.

Peniaga tudung menggunakan Wechat

Peniaga yang mempunyai Wechat mempunyai satu kelebihan kerana Wechat mempunyai satu fungsi imbasan yang membolehkan orang lain mengetahui senarai pengguna yang berada berhampiran mereka.

Namun peniaga tudung kena pastikan tetapan Wechat mereka adalah umum dan bukannya ‘private’ bagi membolehkan pengguna Wechat yang berhampiran dapat melihat nama pengguna anda ketika membuat imbasan.

Letakkan gambar-gambar tudung yang cantik dan menarik dalam ruangan ‘moment’ anda kerana pengguna ‘Wechat’ yang berhampiran pasti dapat melihat gambar-gambar tudung anda ketika melihat profail anda.

Menjual Tudung di Laman Web Perniagaan

Sekiranya ingin pergi lebih jauh, cara menjual tudung menggunakan laman web perniagaan (e-commerce) adalah digalakkan. Ini membolehkan anda menguruskan perniagaan tudung anda lebih baik kerana web perniagaan mengurangkan kerja-kerja manual seperti menerima tempahan, menghubungi pelanggan menerusi PM (Private message) di Facebook dan menguruskan stok.

Malah ada web perniagaan yang turut menawarkan sistem invois yang dapat meningkatkan lagi kredibiliti perniagaan anda di mata pelanggan. Laman web ini membolehkan tempahan boleh diterima 24 jam sehari sepanjang tahun dan hanya memerlukan kakitangan yang minimum.

Sebagai contoh saya memetik dua jenama tudung terkenal iaitu Radiusite dan simplehijab.co. Kedua-dua jenama tudung ini menggunakan laman web perniagaan (e-commerce) dan rekabentuk web tersebut memberikan keyakinan kepada pelanggan untuk membeli tudung dari web perniagaan tersebut.

Usah bimbang jika anda tidak tahu atau bukan pakar dalam membina laman web perniagaan. Pada masa sekarang terdapat banyak rangka laman web perniagaan  siap sedia yang boleh dimuat turun dan diubahsuai mengikut keperluan peniaga.

Ia lebih mudah berbanding dahulu kerana dahulu terpaksa mengupah perekabentuk, pakar HTML dan sebagainya yang memerlukan kos yang tinggi.

Sekarang,  sebuah laman web perniagaan yang mantap dan mempunyai ciri-ciri mesra laman enjin carian boleh dicari dengan mudah di enjin carian Google.

Mahalkah buat laman web perniagaan ?

Sebelum saya memberi jawapan saya ingin bertanya dahulu:

  1. Berapa sewa sebulan sebuah kedai berukuran di bawah 200 kaki persegi?
  2. Berapa kos renovasi sebuah kedai?
  3. Berapa bil elektrik yang perlu dibayar sebulan?
  4. Berapa gaji seorang pembantu jualan sebulan?
  5. Berapa modal awal untuk membeli tudung-tudung untuk dipamerkan dan juga untuk stok?

Pada pendapat anda adakah kos awal melebihi RM 10,000 atau di bawah RM10,000.

Nak tahu berapa kos bina laman web jualan.

RM9000

RM5000

RM1000

Tak sampai 4 digit pun.

Kalau nak tahu tekan butang di bawah.

Rumusan 6 teknik jual tudung atas talian

Keenam-enam kaedah ini sebenarnya sangat mudah dan sesiapa sahaja mampu melakukannya.

Kaedah ini tidak memerlukan modal besar untuk digunakan bagi menjual tudung atas talian ini.

Bisnes jual tudung atas talian ini boleh menggabungkan keenam-enam teknik atau menggunakannya secara berasingan.

Sebenarnya potensi perniagaan secara atas talian ini  sangat besar kerana kadar capaian internet jalur lebar di Malaysia  melebihi 67%.

Oleh itu peluang untuk berniaga atas talian sangat besar TETAPI peniaga kena kreatif dan mempelbagaikan medium jualan.

Saya yakin jualan produk tudung anda ataupun produk lain akan meningkat dan naik berlipat-lipat ganda.

Akhir kata, perniagaan menjual tudung atas talian ini mampu memberi pulangan yang lumayan jika menggunakan kaedah serta promosi yang berkesan. Jika nak tahu strategi, kaedah, teknik dan taktik yang boleh digunakan untuk menjual tudung tinggalkan emel dibawah.

Semoga perkongsian yang saya kongsikan dalam artikel ini boleh dijadikan sumber rujukan anda bagi mengembangkan lagi perniagaan tudung atas talian anda.

Semoga sukses dalam perniagaan menjual tudung.

Arieon M Signature

4 Comments
  1. March 29, 2016
  2. March 31, 2016
  3. May 20, 2016
  4. August 11, 2016

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge